RAHSIA mudah jana pendapatan melalui FACEBOOK dan TWITTER!!! (TANPA MODAL) ingin tahu KLIK DISINI !
Inisiatif kerajaan yang akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 Jumaat ini diyakini dapat menangani kesulitan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat semalam bahawa setiap inisiatif yang akan diumumkan adalah berdasarkan kepada komitmen kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal negara.
“Langkah-langkah yang kita ambil akan kita terangkan waktu ucapan belanjawan. Apa-apa program yang kita buat adalah dalam lingkungan kemampuan kerajaan dan komitmen kita untuk kurangkan defisit fiskal negara,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giew (DAP-Kepong) di Parlimen, di Kuala Lumpur.
Dr Tan ingin tahu langkah-langkah kerajaan untuk memperkukuh ekonomi Malaysia akibat kemerosotan ekonomi dunia dan sama ada negara masih mampu mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus.
Perdana Menteri berkata, strategi yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2012 turut mengambil kira kesulitan rakyat berpendapatan rendah, untuk membantu dan melindungi mereka jika berlaku kemelesetan ekonomi dunia dan kenaikan kos serta harga barangan.
Najib berkata pelbagai aktiviti akan terus dilaksanakan bagi membantu golongan berkenaan seperti bantuan kewangan, subsidi dan insentif, bantuan latihan dan kemahiran, perkhidmatan kesihatan dan perumahan.
Selain itu katanya, ekonomi negara pada tempoh separuh pertama 2011 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus dan momentum lebih baik dijangkakan dalam separuh kedua tahun ini.
Katanya ia berikutan aktiviti perbelanjaan, permintaan domestik serta kecergasan aktiviti pelaburan negara.
“Perbelanjaan penggunaan dijangka mencatat pertumbuhan kukuh berikutan peningkatan pendapatan hasil daripada harga komoditi yang kekal tinggi dan prospek pekerjaan yang stabil,” katanya.
Najib berkata Pelan Transformasi Ekonomi dan inisiatif kerajaan untuk menarik pelaburan asing juga dijangka meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan mengurangkan kesan daripada ketidaktentuan sektor ekonomi global. - Bernama