RAHSIA mudah jana pendapatan melalui FACEBOOK dan TWITTER!!! (TANPA MODAL) ingin tahu KLIK DISINI !
PENGALAMAN NGERI MANGSA BOM DI HATYAI | HATYAI, SONGKHLA: Menghidu asap dan menahan bahang panas api menjadi pengalaman ngeri sepasang suami isteri yang terperangkap di tempat letak kereta Hotel Lee Garden Plaza, di sini, yang menjadi lokasi letupan bom kereta, kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa, Wong Sze Ee, 28, bersama suaminya, Ooi Fook Chuan, 33, dari Pulau Pinang baru selesai mendaftar keluar daripada hotel berkenaan.
Mereka ke kawasan letak kereta B2 di bawah hotel berkenaan untuk menyimpan beg pakaian di dalam kereta.
Sze Ee berkata, sebaik tiba di kereta, gegendang telinganya seakan-akan mahu pecah akibat letupan kuat hingga menggegarkan ruang bawah bangunan berkenaan.
Menurutnya, tidak lama kemudian dia melihat kepulan asap hitam memenuhi ruang tempat meletak kereta berkenaan.
“Saya lihat suami hampir lemas kerana asap tebal dan kami cuba menyelamatkan diri dengan mencari jalan keluar melalui tangga di kawasan tempat letak kereta itu yang terletak agak jauh.
“Bagaimanapun, kami tidak berjaya melarikan diri menggunakan tangga berkenaan kerana asap terlalu tebal selain bahang panas api dan berlindung di bawah tangga sementara mencari laluan lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Songkhla Nagarind (HSN), di sini, semalam.
Menurutnya, dalam keadaan kawasan itu dipenuhi asap tebal, mereka menutup mulut menggunakan baju dipakai manakala suaminya terhidu terlalu banyak asap menyebabkannya hampir pengsan.
Katanya, dalam tempoh 30 minit, mereka bagaikan sudah berputus asa untuk menyelamatkan diri kerana kawasan dipenuhi asap amat tebal menyebabkan kedua-duanya mengalami kesukaran bernafas selain tiada bantuan tiba dalam tempoh itu.
“Saya ketika itu sudah putus harapan, tetapi lega apabila terlihat cahaya lampu samar-samar daripada arah depan kawasan tempat letak kereta berkenaan sebelum terdengar suara anggota penyelamat.
“Dalam keadaan lemah, saya berteriak kepada mereka supaya membantu kami yang ketika itu hampir pengsan sebelum dibantu anggota penyelamat keluar dari kawasan berkenaan dan dihantar ke HSN, Hatyai,” katanya.
Katanya, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas terhidu banyak asap dan dia mendapatkan rawatan di wad biasa.
sumber : myMetro