Dapatkan info terbaru via Facebook. Dan Jangan Lupa klik LIKE! TQ

Powered By Blogger Widgets and Blogger Tutorials

Memaparkan catatan dengan label MOTORBIKE. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MOTORBIKE. Papar semua catatan

(EMAS) ROMPAKAN ALA - ALA FILEM JAMES BOND


(EMAS) ROMPAKAN ALA - ALA FILEM JAMES BOND LONDON: Enam perompak mengejutkan orang ramai apabila melakukan rompakan bermotosikal dengan pantas.

Mereka mengenakan pakaian hitam dan topi keledar penuh sambil menunggang tiga motosikal berkuasa tinggi dalam sebuah pusat beli-belah sebaik saja ia dibuka, semalam.

Pembonceng ketiga-tiga motosikal itu melompat turun lalu memecahkan dinding kaca kedai barang kemas menggunakan kapak dan kayu pemukul. 

Saksi berkata, perompak itu menunggang motosikal ke bahagian atas menuju ke kedai barang kemas Fraser Hart di pusat beli-belah Brent Cross di utara London.

Mereka dipercayai mengambil jam tangan jenama Cartier dan Rolex serta barang kemas lain sebelum melarikan diri.

Menurut saksi, orang ramai menjadi panik apabila melihat kejadian itu. Ada yang melarikan diri ke pintu keluar manakala beberapa kedai tidak membenarkan pelanggan mereka keluar ketika rompakan itu berlaku.

Michelle Webber, 36, yang berada di situ berkata, dia masuk dari pintu yang digunakan oleh kumpulan itu, berdekatan dengan kedai John Lewis dan New Look.

Katanya, dia masuk kira-kira 10 minit sebelum rompakan itu berlaku dan mendengar seorang lelaki di belakangnya berkata, “Mari mulakan keseronokan.”

Tidak lama selepas itu, Michelle berkata, keadaan di dalam pusat beli-belah itu menjadi tegang.

“Seorang lelaki berlari ke arah kami dan menjerit supaya semua orang keluar. Waktu itu saya terfikir mungkin ada bom dan saya mula teringatkan anak saya dan keluarga. Saya mula ketakutan dan orang ramai mula berlari keluar dalam keadaan panik,” katanya.

Michelle berkata, orang ramai mula berlari ke arahnya dan cuba menjauhkan diri daripada tempat rompakan itu.

“Di sekitar kami, kedai mula ditutup dan barulah kami sedar sesuatu yang serius telah berlaku. Seorang lelaki memberitahu saya ada perompak bermotosikal di bahagian atas memecah kedai emas dengan kapak,” katanya.

Seorang jurugambar, Rick Treister yang dalam perjalanan ke kedai Apple di Brent Cross mendengar suara orang berteriak dan kaca pecah.

Beberapa saat kemudian, tigag motosikal dipecut dengan laju ke arahnya melepasi kedai kasut Clarks. 

Katanya, “Saya tidak sempat untuk merasa takut, kejadian itu seperti mimpi.”

“Ia seperti filem James Bond dan anda tidak percaya kejadian seperti ini berlaku dalam pusat beli-belah Brent Cross,” katanya.

Rick terus mengeluarkan telefon bimbit dan berjaya merakam satu gambar.

“Lelaki yang menunggang motosikal di hadapan menjerit sesuatu kepada saya ketika dia melintas di hadapan saya,” katanya.

Katanya, keadaan menjadi huru hara. Wanita yang bekerja di kedai John Lewis menjerit manakala lelaki yang bekerja di kedai emas itu menjerit mengeluarkan kata-kata kesat ke arah perompak. - Daily Mail

ZULFAHMI DILAMAR RED BULL KTM

SELEPAS muncul naib juara Grand Prix Motosikal Malaysia bagi melakar sejarah untuk negara, karier pelumba sensasi Moto3, Muhammad Zulfahmi Khairuddin terus cerah apabila dia bakal disambar pasukan Red Bull KTM Ajo, menggantikan Sandro Cortese yang baru dinobatkan sebagai juara dunia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, meskipun ia belum diputuskan secara rasmi, Zulfahmi yang kini mewakili pasukan AirAsia SIC Ajo, hampir pasti berhijrah ke pasukan juara dunia itu.

Ini kerana, perbincangan dengan pengurus pasukan, Aki Ajo menunjukkan perkembangan positif dengan Ajo sendiri mahukan Zulfahmi menggunakan jentera Red Bull KTM Ajo.

“Perbincangan bersama Ajo bukan berlaku selepas Zulfahmi menaiki podium sebaliknya ia sudah berlangsung sejak perlumbaan di Motegi, Jepun.

“Berdasarkan pencapaiannya musim ini, Aki mahu Zulfahmi beraksi bersama pasukan Red Bull. Bermakna dia bakal bergandingan dengan Artur Sissis serta Luis Salom pada musim depan kerana Danny Kent serta Cortese akan beralih ke saingan Moto2.

“Kini perbincangan terakhir mengenai penggabungan tajaan seperti AirAsia dan Red Bull berlangsung. Tapi, apa yang boleh saya katakan Zulfahmi hampir pasti ke Red Bull,” katanya.


Razlan berkata, beliau menyokong penuh perkembangan terbaru membabitkan Zulfahmi kerana pelumba berusia 21 tahun itu bakal beralih kepada pasukan lebih baik.

“Perpindahan ini amat bagus untuk karier Zulfahmi kerana kita semua sedia maklum, Red Bull baru saja meraih kejayaan apabila Cortese dinobat juara dunia Moto3.

“Dengan perkembangan terbaru ini, saya serta seluruh rakyat Malaysia berharap Zulfahmi akan meraih kejayaan lebih besar musim depan.” Zulfahmi mencipta sejarah baru untuk negara apabila muncul pelumba pertama menaiki podium kelmarin, memperbaiki sejarah dicipta Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang muncul pelumba pertama beraksi musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia dari 2000 hingga 2002.

Menurut Razlan, kejayaan Zulfahmi kelmarin sebenarnya cukup besar jika melihat kepada konteks yang lebih luas.

“Zulfahmi membuktikan anak Malaysia juga boleh berjaya setanding dengan pelumba handalan dunia yang lain dan sudah tiba masanya, syarikat besar membuka mata dengan membabitkan diri menerusi tajaan,” katanya.

(MOTORBIKE) DUCATI MULTISTRADA 1200S, URBAN, TOURING, SPORT DAN ENDURO

Ducati Multistrada 1200S keluaran 2010 dicipta dengan reka bentuk sporty dan menampilkan konsep yang begitu menawan. Ia ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu merah, hitam, hitam-merah dan putih dalam kategori sport touring yang terlaris di pasaran.


Motosikal berkuasa 1200cc ini mendahului masa depan dengan menggabungkan empat mod tunggangan dalam satu iaitu Urban, Touring, Sport dan Enduro bagi memberikan pengalaman menunggang tersendiri dalam setiap laluan berbeza. Penunggang hanya perlu menekan punat pada panel LCD untuk mengubah mod setiap tunggangan yang pasti akan memberi keseronokan tersendiri.

Manakala tunggangan menggunakan mod Touring juga diprogramkan untuk menghasilkan kuasa yang sama, dengan konfigurasi yang memberikan keselesaan kepada penunggang dan pembonceng.

Mod Urban menjadikan aktiviti tunggangan amat mudah ketika berada di pusat bandar. Perubahan suspensi secara automatik menjadikan ia sedikit rendah serta banyak membantu ketika melalui kesesakan. Manakala mod Enduro pula menjadikan Multistrada 1200 lebih tangkas dan ringan. Ia memberi penunggang keupayaan untuk menyusuri laluan off-road begitu mudah dengan adanya kelembutan suspensi jenama Öhlins secara automatik.

Kerangkanya diperbuat daripada aluminium dan komponen fiber menjadikan motosikal lebih tegap, ringan dan mudah dikendalikan. Menunggang pada waktu malam tiada masalah kerana lampu LED cukup terang.

Sistem brek Brembo ABS yang canggih memberikan keyakinan ketika menunggang mahupun ketika anda melakukan brek kecemasan. Jumlah isi padu tangki minyak sebanyak 20 liter mampu menggerakkan jentera melebihi 300 kilometer.

Multistrada diperkenalkan sebagai motosikal tanpa kunci konvensional. Kunci elektronik  di dalam poket penunggang “berkomunikasi” dengan Multistrada untuk  membolehkan enjin  dihidupkan secara automatik. Selain itu, ia turut menawarkan sistem penguncian motosikal secara automatik sepenuhnya sebagai ciri-ciri keselamatan. Penunjuk kelajuan, rpm (putaran seminit), gear, jumlah jarak dan baki minyak adalah antara ciri-ciri kelebihan yang terdapat di panel LCD.

Ducati Multistrada 1200S memang sesuai untuk anda dan pasangan menikmati keindahan dan keseronokan ketika berada di atas jalan raya. Menunggangnya  sama ada di jalan raya mahu pun off road, nyata memberikan tunggangan yang berbeza dan sebagai penunggang anda akan merasai perbezaan yang sebenar.

Sumber : Sinar