Dapatkan info terbaru via Facebook. Dan Jangan Lupa klik LIKE! TQ

Powered By Blogger Widgets and Blogger Tutorials

Memaparkan catatan dengan label dadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dadah. Papar semua catatan

SI TUA, GANJA DAN BOLA RAGBI

GEORGETOWN: Cubaan seorang lelaki warga emas mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan 23 ketulan dadah jenis ganja belum diproses dan dibalut padat seperti bola ragbi terbongkar apabila diserbu polis di tepi jalan di Bukit Gedung, Bayan Baru, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan S Batumalai berkata, serbuan jam 3.30 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menemui dadah seberat 28 kilogram dianggarkan bernilai RM84,000 yang diisi dalam guni.

Menurutnya, dadah berkenaan ditemui selepas pemeriksaan terhadap suspek yang berusia 50-an dan kenderaannya jenis Proton Persona yang berhenti di tepi jalan menghala ke pusat bandar.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai keluar untuk menghantar bekalan ke lokasi tidak diketahui. “Bagaimanapun, suspek tidak bernasib baik apabila polis menemuinya dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan sebelum melakukan pemeriksaan.

“Dadah yang ditemui dipercayai disembunyikan dalam guni besar di belakang but kereta,” katanya.

Difahamkan, ketulan ganja itu dibungkus rapi menggunakan beg plastik sebelum diikat ketat menggunakan pita pelekat sebelum dibalut pula dengan plastik lain seperti bola ragbi dengan setiap ketulan dadah dianggarkan seberat antara satu hingga dua kilogram.

Katanya, suspek juga didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah pada 2009 dan 2010.

Menurut Batumalai, lelaki berkenaan juga pernah dikenakan tindakan kerana kesalahan lampau tetapi masih tidak serik.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bekalan dadah diperoleh sama ada dibawa masuk dari negara jiran atau menerusi sindiket lain.

“Kami masih siasat untuk mengenal pasti sama ada dadah berkenaan untuk pasaran di Pulau Pinang atau sebaliknya.

“Suspek kini ditahan reman hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mandatori,” katanya ketika ditemui, semalam.

(HIGHLAND TOWERS) SEKARANG DAH JADI KONDO PENAGIH

(HIGHLAND TOWERS) SEKARANG DAH JADI KONDO PENAGIH AMPANG JAYA: Kondominium mewah, Highland Towers di Hill View, Hulu Klang, di sini, yang dulunya dikaitkan dengan kawasan berhantu, keras dan menakutkan menjadi ‘syurga’ buat penagih dadah yang menggunakan kawasan berkenaan sebagai tempat melepaskan ketagihan.


Malah, kawasan terbabit juga dikatakan menjadi tempat tumpuan segelintir individu melakukan aktiviti pemujaan.

Mengimbas kembali kejadian pada 11 Disember 1993 itu, tragedi meragut nyawa 48 penghuni Blok 1 di kawasan berkenaan menjadikan kondominium mewah itu kian dilupakan dan terbiar serta dipenuhi hutan sehingga wartawan Metroplus dimaklumkan ia disalahgunakan pihak tertentu untuk penagihan dadah dan pemujaan.

Berdasarkan aduan itu, wartawan melakukan tinjauan di kawasan itu bagi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan.

Hasilnya, sebaik menjejakkan kaki, wartawan mendapati kawasan dipenuhi hutan itu mempunyai laluan kecil. 
Malah, sebaik menyusuri laluan itu yang menghubungkan kawasan luar dengan kondominium mewah yang ditinggalkan, banyak kesan tapak kaki ditemui di bahagian bawah bangunan itu membuktikan dakwaan kawasan terbabit sering dikunjungi individu mahupun kumpulan tertentu.


Metroplus difahamkan, penagih menceroboh kawasan itu pada waktu malam. 
Buktinya, terdapat penemuan puluhan kotak rokok, tin minuman keras, bekas minuman berserta kesan unggun api bersama kain dan getah di beberapa bahagian kondominium berkenaan.

Tinjauan juga mendapati, di tingkat bawah Blok 2 terdapat beberapa tiang diubah suai sebagai unggun api dan kerusi dipercayai menjadi ‘port’ mereka untuk mengambil dadah.


Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Razak, 50, berkata, kadang-kala ketika melalui kawasan terbabit dia sering ternampak beberapa individu tidak dikenali menceroboh masuk ke bangunan itu pada waktu malam.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan kawasan berkenaan sering menjadi kunjungan penagih dadah melepaskan ‘gian’ kerana kawasan itu yang dipenuhi semak-samun.

“Hingga kini, kami dapati tiada ada usaha untuk merobohkan bangunan terbabit yang terbiar sejak lama sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di sini.

Ketua Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, Taman Hillview termasuk tapak Highland Towers itu di bawah pengawasan pihaknya, namun sehingga kini status bangunan berkenaan adalah di bawah pemaju.

Menurutnya, pihaknya sudah beberapa kali menghantar notis kepada pemaju terbabit supaya membersihkan kawasan berkenaan, namun menemui jalan buntu selepas pemaju sedia ada muflis dan diambil alih pemaju lain.

“Kami tiada kuasa untuk membuat sebarang tindakan kerana kawasan terbabit masih tertakluk di bawah pemaju pangsapuri berkenaan, malah tiada arahan sama ada daripada kerajaan mahu pun pemaju untuk merobohkan bangunan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika ditemui berkata, pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan di kawasan terbabit dari semasa ke semasa selepas menerima aduan orang awam.

Menurutnya, tahun lalu saja bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang melakukan serbuan dua kali di kawasan terbabit dan menahan tujuh penagih di kawasan itu dalam operasi berasingan.

Sumber : Metro

(PULAU TIOMAN) PARTI LIAR TEKNO ATAS BOT

(PULAU TIOMAN) PARTI LIAR TEKNO ATAS BOT KUANTAN: Dengan mengenakan bayaran serendah RM150 setiap seorang, dua juruhebah (DJ) bebas dikesan menubuhkan satu laman web sosial bagi menarik perhatian peminat muzik tekno sebelum menganjurkan parti ‘Tekno Underground’ sempena sambutan malam kemerdekaan di Teluk Juara, Pulau Tioman, Rompin, pagi kelmarin.

Bagi peminat muzik itu yang mahu menyertai parti liar terbabit, mereka perlu mematuhi syarat wajib penganjur iaitu pertama, berpakaian ala Hawaii, kedua, menghisap syabu dan ketiga, pil Ecstasy yang dibekalkan penganjur.



Difahamkan, dua penganjur terbabit sudah menutup akaun laman web sosial berkenaan pada 25 Ogos lalu selepas menarik 24 individu termasuk beberapa gadis yang meminati muzik berkenaan.

Pada masa sama, dua penganjur terbabit dikatakan memperuntukkan lebih RM1,000 bagi menyediakan kemudahan penginapan, makan serta minum kepada semua peserta. [Sumber]

SANGKAR CINTA SI PENGEDAR DADAH


SANGKAR CINTA SI PENGEDAR DADAH | KUALA LUMPUR: “Saya hanya terbayangkan penjara dan tali gantung kerana orang yang saya sayangi sebenarnya penagih serta pengedar dadah,” kata seorang ibu muda yang kini menyesali perbuatannya lari dari rumah sejak 2007 kerana mengikut teman lelaki.

Wanita berusia 23 tahun itu yang mahu dikenali sebagai Nora berkata, selepas lari dari rumah, dia berkahwin dengan kekasihnya di selatan Thailand, namun rumah tangga yang dibina hanya bertahan setahun.

Nora berkata, dia bercerai sejurus melahirkan anak kembar lelaki pada 2008, namun seorang daripada anaknya itu meninggal dunia.

“Selepas itu saya hidup sendirian kerana saya masih tidak pulang ke pangkuan ibu bapa, sebaliknya hanya menyerahkan anak saya untuk mereka jaga.

“Pada April tahun lalu, saya berkenalan pula dengan seorang lelaki yang saya anggap mampu menjadi penyelamat dan memberi kebahagiaan.

“Bagaimanapun, impian saya menjadi sebaliknya kerana dia rupa-rupanya penagih serta pengedar dadah. Setahun hidup bersamanya ibarat dalam neraka kerana saya bukan saja selalu dipukul, malah turut dipaksa mengambil dadah,” katanya.

Sumber : metro

'GATAI PUNGKOQ' SEBAB SUMBAT DADAH DALAM LUBANG JUBUQ


'GATAI PUNGKOQ' SEBAB SUMBAT DADAH DALAM LUBANG JUBUQ | CAMERON HIGHLANDS: Sikap aneh seorang penganggur yang asyik menggaru punggung dipercayai kerana tidak tahan gatal membongkar rahsia apabila dia sebenarnya menyembunyikan 8.90 gram heroin dalam duburnya, petang kelmarin.

Ketika ditahan pada jam 3.30 petang di depan sebuah kedai gunting di Tanah Rata, di sini, lelaki berusia lingkungan 30-an itu kelihatan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum diperiksa sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata sebelum itu, polis memeriksa seluruh tubuh penganggur terbabit, namun tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Menurutnya, penganggur terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Cameron Highlands untuk disoal siasat bagi mengetahui lokasi sebenar dia menyembunyikan dadah.

Katanya, ketika didesak supaya mengaku penganggur terbabit tidak berdiri dengan betul apabila asyik menggaru punggung selain menggeliat sebelum mengakui menyembunyikan sepeket heroin dalam duburnya.

“Bagaimanapun, polis kemudian memaksa lelaki terbabit mengeluarkannya sebelum mengesahkan terdapat satu peket plastik lut sinar yang mengandungi serbuk heroin seberat 8.90 gram,” katanya.

Katanya, penganggur terbabit kini ditahan reman selama empat hari di lokap IPD bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. -METRO