Dapatkan info terbaru via Facebook. Dan Jangan Lupa klik LIKE! TQ

Powered By Blogger Widgets and Blogger Tutorials

Memaparkan catatan dengan label sinar harian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sinar harian. Papar semua catatan

KES ROGOL : BEKAS IMAM DIHUKUM 15 TAHUN PENJARA DAN 12 SEBATAN

KES ROGOL : BEKAS IMAM DIHUKUM 15 TAHUN PENJARA DAN 12 SEBATAN | JOHOR BAHRU – Seorang bekas Imam sebuah masjid di Johor Bahru hari ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang gadis di bawah umur tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Nu’aman Mahmud Zuhudi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Nur Akmal @ Basok Bakri Abdul Kader, 32, di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, walaupun tertuduh pertama kali melakukan kesalahan seksual itu, namun kedudukannya sebagai seorang imam jelas menunjukkan dia benar-benar mengetahui hukum dan kesalahan yang dilakukan.

“Mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam kes ini dan bukannya kedudukan dia sebagai imam. Tertuduh sepatutnya memberi contoh yang baik kepada masyarakat dan menjaga nama baiknya,” katanya.

Tertuduh didakwa merogol remaja perempuan ketika kejadian berusia 13 tahun di rumahnya di Taman Perling, dekat sini, kira-kira jam 3 petang, 21 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding berkenaan, tertuduh kelihatan tenang namun sebaik sahaja keputusan dibacakan, dia akhirnya mengalirkan air mata apabila dipeluk ahli keluarga yang lain.

Terdahulu, peguam Sukhaimi Mashud memohon hukuman terhadap anak guamnya diringankan atas alasan kesalahan pertama dilakukan selain tertuduh adalah adalah seorang imam serta sudah berkahwin dan memiliki seorang anak berusia empat tahun.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afif Ali.
Sumber : Sinar

(AJAL) LELAKI MAUT KETIKA BERMAIN BADMINTON

(AJAL) LELAKI MAUT  KETIKA BERMAIN BADMINTON | Kegembiraan sepasang suami isteri meraikan cuti umum sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam bertukar tragedi apabila si suami meninggal dunia akibat serangan jantung semasa bermain badminton malam kelmarin.

Mangsa, Yeoh Chee Liang, 28, didapati meninggal dunia ketika sedang bermain badminton di dewan sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di sini.

Isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, tiada sebarang tanda-tanda menunjukkan suaminya akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

Dia yang turut menemani sepanjang suami bermain tidak menyangka keseronokan suami menghabiskan masa bermain badminton bersama rakan-rakan merupakan kenangan terakhir bersama mendiang.

“Sebaik sampai kira-kira jam 8 malam, Chee Liang memulakan permainan bersama rakan dan selesai bermain satu set sebelum berhenti rehat.

“Bagaimanapun, ketika sedang bermain di set kedua permainan, dia didapati terjatuh secara tiba-tiba,” katanya kepada Sinar Harian.

Rakan beregu, Chen Qiu Song, 28, berkata, ada antara kawan cuba memanggil dan menggerakkan badannya, tetapi tiada jawapan.

“Semasa sibuk memulakan set kedua, mangsa dilihat terjatuh. Kejadian berlaku begitu cepat dan keadaan cemas menyebabkan masing-masing tergamam,” katanya.

Polis bagaimanapun mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut.

Mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Difahamkan, mangsa sering menghabiskan masa dengan bermain badminton dan dilihat agak keletihan sebelum memulakan permainan.

Hasil perkahwinan mangsa dan isterinya Mac tahun lalu dikurniakan seorang anak perempuan berusia lapan bulan. SINAR